- Lain-lain
四川话百科:“拖板儿鞋”就是拖鞋
Foto fail ini menunjukkan seorang anggota ‘pasukan penghutanan cenuram’ sedang menakik turun satu cenuram di kaunti Yichuan, bandar Yan’an, Provinsi Shaanxi di barat laut China. (Foto ihsan individu yang diwawancara)
Tatkala fajar menyingsing, Wang Yonghong, ketua ‘pasukan penghutanan cenuram’ di kaunti Yichuan, bandar Yan’an, Provinsi Shaanxi di barat laut China, telah memulakan rondaan hutan hariannya. Kawasan yang dijaganya adalah seluas 200 mu (sekitar 13.33 hektar) setiap hari.
Kaunti Yichuan terletak di bahagian utara Shaanxi, iaitu kawasan tipikal Dataran Loes yang terkenal dengan ciri-cirinya yang berbukit-bukau dan gaung nan dalam. Zon 5 kilometer di sepanjang Sungai Kuning tersebut telah terjejas akibat kemarau buruk dan hujan yang sedikit, sekali gus mendorong kepada hakisan tanah yang serius.
“Ketika saya masih muda, mencedok air dari sungai bermakna separuh isi di dalam besen adalah air, dan separuh lagi isi adalah pasir,” imbas Wang ketika mengimbau kembali tentang betapa mudah terjejasnya ekologi di kawasan tersebut.
“Anda tidak mungkin dapat melihat sebarang pokok di kawasan pergunungan ketika dahulu,” tambahnya lagi.
Pada 2004, ketika kaunti itu merancang untuk menghutankan semula gunung berbatu di sepanjang Sungai Kuning, Wang yang ketika itu berusia 29 tahun telah menawarkan diri untuk menjadi sukarelawan dalam misi tersebut, dan merekrut anggota pasukan bagi menyertai projek membaik pulih ekologi Lembangan Sungai Kuning.
Bahagian atas foto gabungan ini memperlihatkan rupa cenuram tandus di sepanjang Sungai Kuning di kaunti Yichuan, bandar Yan’an, Provinsi Shaanxi, barat laut China, manakala foto di bahagian bawah pula menunjukkan cenuram Sungai Kuning yang hijau dan subur. (People’s Daily Online/Bai Ge)
Selepas bertahun-tahun melalui usaha yang berterusan, loes tandus di atas gunung secara perlahan-lahan terdorong menjadi hijau nan subur, tetapi cenuram gondol di bahagian bawah terus menjadi kegusaran Wang.
Pada tahun 2012, kaunti tersebut mengambil keputusan untuk mengatasi cabaran penghutanan semula cenuram itu. Wang yang ketika itu berada di puncak kehidupannya sekali lagi ke hadapan untuk mengetuai inisiatif tersebut. Dia membentuk ‘pasukan penghutanan cenuram’, dan memulakan penanaman ujikaji pokok tuja China kalis kemarau di permukaan cenuram yang curam.
Menanam pokok di cenuram Sungai Kuning yang terjal – terdiri daripada lapisan tanah yang nipis, tanah tandus, angin kuat dan keadaan iklim gersang, sekali gus menyaksikan kaedah penanaman pokok secara tradisional tidak langsung berkesan.
Wang Yonghong menyediakan pembenihan untuk dihantar menggunakan dron di kaunti Yichuan, bandar Yan’an, Provinsi Shaanxi di barat laut China. (People’s Daily Online/Bai Ge)
Selepas berkali-kali percubaan, Wang dan pasukannya, bersama-sama dengan juruteknik perhutanan telah membangunkan teknik penanaman cenuram yang khusus mengikut keadaan yang berbeza.
Dia mengimbas semula ketika fasa awal operasi penghutanan, iaitu apabila kenderaan pengangkutan tidak boleh mengakses tapak tersebut, yang menyaksikan anggota pasukan perlu membawa naik tanah dan anak benih subur ke atas gunung di belakang masing-masing, kemudian menggunakan tali untuk menurunkan pekerja ke permukaan cenuram untuk menggali lubang, dan menanam pokok.
Pada musim bunga yang lalu, ‘pasukan penghutanan cenuram’ telah menggunakan dron perlindungan tanaman buat julung-julung kalinya untuk membantu dalam usaha penanaman pokok dan penghantaran benih, serta menjemput pakar untuk memberikan panduan di tapak bagi tujuan pengoperasian dron.
“Setiap perjalanan sehala dron yang membawa benih dan tanah hanya mengambil masa tiga minit sahaja. Kami dapat menjimatkan tenaga untuk penanaman sebenar, membolehkan setiap orang untuk menanam hampir 100 pokok setiap hari, iaitu bersamaan dengan apa yang seluruh pasukan kami mampu capai untuk sehari penuh pada suatu ketika dahulu,” ujar Wang.
Pada musim bunga ini, pekerja hutan berusia 47 tahun, Wang Jianghong telah membeli dron menggunakan wang sendiri dan mendapatkan lesen mengoperasi dron bersama-sama rakan sepasukannya, Hao Lei.
Sebuah dron membawa benih ke sebuah tapak penghutanan di kaunti Yichuan, bandar Yan’an, Provinsi Shaanxi di barat laut China. (People’s Daily Online/Bai Ge)
Hakikatnya, keazaman yang tidak henti-henti merupakan faktor yang membolehkan pasukan itu mencipta keajaiban hijau di serata permukaan cenuram Sungai Kuning selama lebih 13 tahun. Kadar kemandirian pokok-pokok tersebut telah melangkaui 90 peratus pada hari ini, iaitu meningkat sehingga hampir 40 peratus berbanding fasa awal misi pasukan itu.
Hari ini, pasukan tersebut telah berkembang kepada lebih 30 anggota, secara kolektif menanam lebih 10,000 mu hutan di kawasan yang ekologinya mudah terjejas.
Di kaunti Yichuan, lapan lagi pasukan penghutanan yang profesional telah berganding bahu bekerja dengan ‘pasukan penghutanan cenuram’ tersebut.
Setakat 2024, kadar liputan hutan di bandar Yan’an telah meningkat daripada 33.5 peratus sebelum program sebutir-untuk-hijau kepada 53.07 peratus, manakala liputan tumbuh-tumbuhan pula meningkat daripada 46 peratus kepada 81.3 peratus.
Foto fail memperlihatkan Hao Lei dan sebatang pokok yang ditanamnya di kaunti Yichuan, bandar Yan’an, Provinsi Shaanxi di barat laut China. (Foto ihsan individu yang diwawancara)
Kesemua 13 kaunti dan daerah di bandar itu telah ditetapkan sebagai kaunti contoh peringkat negara bagi kemajuan ekologi.
“Pokok paling tinggi di gunung kini mencapai hingga 4 meter, manakala pokok di bahagian cenuram bertumbuh lebih perlahan, dengan yang paling tinggi mencapai lebih 3 meter,” ujar Wang Yonghong, sambil menambah bahawa pasukan itu telah menanam lebih daripada 1,000 mu pokok pada tahun ini.
Foto fail menunjukkan anggota-anggota ‘pasukan penghutanan cenuram’ di kaunti Yichuan, bandar Yan’an, Provinsi Shaanxi di barat laut China. (Foto ihsan individu yang diwawancara)
- Teknologi Sumbang Dalam Usaha Pemuliharaan di Tanah Tinggi China
- China Baik Pulih 3.07 Juta Hektar Padang Rumput Setiap Tahun
- Renjer Hutan Wanita di Gansu Habiskan Lebih 20 Tahun Lindungi Gunung Qilian
- TBC 2025: Renjer di Jiangxi ‘Korbankan’ Cuti Demi Jaga Hutan
- Ahli Sains China Raih Anugerah "Champions of the Earth" 2024 UNEP
- Ekonomi Bawah Hutan China Bernilai RMB1 Trilion pada 2022
- Kadar Liputan Hutan di Beijing Naik ke 44.8 Peratus
- Penanaman Pokok Besarnya Makna: Xi
- Mantap Kempen Penghutanan, Bina China yang Indah: Xi
- Industri Perhutanan China 2022 Berprestasi Cemerlang